Yahoo! sebelum ini telah pun mengumumkan yang mana mereka akanmengitar semula nama pengguna untuk akaun yang tidak digunakan untuk suatu waktu. Kini, ia tampak bukan Yahoo! sahaja, tetapi pihak Microsoft turut melakukan perkara sama.
Mengikut apa yang dilaporkan oleh PCWorld, pihak microsoft membuat perkara sama untuk akaun Microsoft yang tidak digunakan untuk suatu tempoh yang lama. Daripada apa yang diketahui, pihak Microsoft memerlukan pengguna mengakses akaun mereka sekurang-kurangnya sekali setiap 270 hari. Sekiranya tidak, ia akan menghentikan akses untuknya, dan selepas lebih 360 hari selepas dipadam, sesuatu akaun emel itu akan ditawarkan semula untuk pendaftaran.
Salah satu perkara yang menjadi perhatian ramai adalah berkaitan dengan isu privasi. Ini adalah kerana emel yang dihantar kepada alamat emel yang lama masih akan diterima oleh pengguna baru, sekaligus membuatkan beberapa info berkaitan pengguna lama boleh diketahui pengguna baru.
Bercakap mengenai perkara sama untuk akaun Google, ia diketahui yang mana Google tidak menawarkan sebarang akaun yang dipadam kepada umum walaupun akaun Google dipadam oleh pengguna.
SUMBER RUJUKAN: PCWORLD