Dengan hanya lebih kurang sebulan lebih sahaja lagi sebelum tahun 2014 menjelang tiba, semestinya ramai yang ingin ketahui apakah perubahan yang bakal dibawakan pada tahun baru tersebut. Hari ini, pihak Intel Malaysia telah berkongsi beberapa perkara berkenaan dengannya.
Sambungan Rangkaian Yang Dipertingkatkan Untuk Ekonomi
Internet telah menjadi salah satu perkara utama pada hari ini, apatah lagi dalam melibatkan perniagaan dan sebagainya. Tablet dan telefon pintar dijangka akan terus menjadi peranti utama untuk berhubung pada tahun 2014 kelak.
Berbeza dengan lebih kurang lima tahun yang lepas, kini hampir semua pengguna mempunyai telefon mereka masing-masing dalam memudahkan perhubungan antara satu sama lain. Perkara ini juga sekaligus memberikan kesan positif kepada ekonomi negara secara amnya.
Walaubagaimanapun, pada negara-negara yang sedang membangun, salah satu perkara yang menjadi halangan adalah kos untuk sambungan rangkaian yang masih tinggi buat masa ini. Kerajaan dijangka akan terus memainkan peranan utama dalam mempertingkatkan capaian dikalangan penduduk sepanjang tahun hadapan.
Di Indonesia, pihak Intel dilihat bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi Telkom dalam menawarkan sambungan rangkaian percuma apabila membeli peranti dengan cip Intel.
Evolusi Pendidikan
Mendidik orang tua dalam pendidikan digital adalah suatu cabaran yang tinggi.Intel meramalkan antara tiga ke lima tahun lagi, rantau ini akan melihat perkembangan yang tinggi dalam penggunaan peranti, terutamanya dikalangan pelajar. Sepanjang tahun 2014 juga, ia dikatakan kadar celik digital bakal meningkat dengan kerajaan yang membuat pelaburan pada perkara tersebut. Seperti biasa, dengan kadar celik digital yang tinggi, ia sekaligus akan menyumbang kepada ekonomi dan pendidikan dalam sesuatu negara.
Dalam mempertingkatkan capaian pendidikan, selain daripada penggunaan peranti, perkara utama yang menjadi fokus adalah kandungan yang ditawarkan dan boleh didapati untuk pelajar. Perkara ini sekaligus memerlukan sesuatu institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam terus menambah kandungan yang disesuaikan untuk pelajar mereka.
Bukan sekadar untuk pelajar muda, pendidikan digital juga membolehkan ramai pihak mengambil kelebihan daripadanya. Sebagai contoh, seorang petani boleh menggunakan internet untuk mengakses data semasa berkaitan dengan cuaca, harga semasa, dan pelbagai informasi tambahan dalam menjadikan hasil mereka lebih bermutu serta pada masa yang sama menguntungkan mereka.
Intel sendiri dikatakan melabur dalam pendidikan, dan telah melatih lebih 10 juta guru-guru diseluruh dunia melalui program Intel Teach mereka.
Pengguna Inginkan Tahap Interaksi Yang Lebih Baik
Pada hari ini, ia boleh dikatakan terdapat beberapa kaedah untuk manusia dan mesin berinteraksi, sama ada melalui sentuhan, suara dan sebagainya. Pada tahun 2013 sendiri, pembelajaran mesin dikatakan meningkat, membolehkan mereka memahami manusia dengan baik.
Pada tahun 2014, pelbagai teknologi dijangka akan memudahkan interaksi, dan antara yang akan menjadi fokus utama adalah termasuk terjemahan suara-ke-suara, AR (augmented reality), kawalan gesture, kawalan suara, dan juga peranti boleh-pakai (wearable device).
Tahun 2013 menyaksikan pelbagai peranti berasaskan Intel hadir, terutamanya dalam format 2-dalam-1 yang menawarkan bukan sahaja kaedah penggunaan biasa, tetapi juga turut menyokong skrin sentuh dan juga kawalan berasaskan suara.
Dalam tempoh lebih kurang 12 bulan yang lepas, pelbagai peranti boleh-pakai menjadi fokus utama, apatah lagi jam tangan pintar dan juga Google Glass. Trend ini dijangka akan terus meningkat dalam tempoh tiga ke limat tahun akan datang, dan ia juga sekaligus dijangka akan menyumbang kepada perkara berkaitan kesihatan dan sebagainya. Sebagai contoh, mesin boleh mengetahui kadar degupan jantung dan memberikan mesej kecemasan kepada mereka yang berdekatan apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Selain peranti boleh-pakai, satu lagi trend yang dijangka akan terus berkembang adalah percetakan dalam bentuk tiga-dimensi.
Big Data
Big Data telah menjadi salah satu perkara yang disebut-sebut pada tahun ini. Dengan lebih 1.5 bilion pengguna dijangka akan mempunyai akses ke internet dalam masa beberapa tahun lagi, semestinya perkara utama yang menjadi fokus ramai adalah berkaitan dengan data pengguna.
Data pengguna seperti demografik, penggunaan mahupun data kesihatan merupakan sesuatu yang menjadi fokus ramai. Melalui penggunaan data ini, ia membolehkan pelbagai perkara dicapai dengan mudah. Sebagai contoh, untuk industri kesihatan, ia mungkin boleh menyumbang untuk mengatasi beberapa penyakit dan hadir dengan cara untuk mengubati pesakit.
Namun, dengan penggunaan pelbagai data ini, satu lagi perkara yang dijangka akan menjadi perbualan ramai adalah berkenaan dengan kadar privasi pengguna dan sebagainya. Untuk mengatasi perkara ini, pihak kerajaan sendiri memainkan peranan penting dengan memperkenalkan undang-undang penggunaan data dan sebagainya supaya data yang dikumpulkan tidak disalah guna oleh organisasi dan sebagainya.