Samsung kini menggunakan ‘region lock’ terhadap model Galaxy Note 3 terbaru mereka walaupun pelanggan membeli versi unlocked.
Sebagai contoh, pembeli yang membeli Galaxy Note 3 di Eropah tidak dapat menggunakannya di luar termasuk di US. Setelah perkara ini dilaporkan oleh Clove, GigaOM mengesahkannya selepas mendapatkan kenyataan daripada Samsung sendiri.
Ini bermakna jika anda membeli Galaxy Note 3 di Eropah dan anda mahu berjalan ke US, anda tidak boleh menukar kad sim tempatan di sana dan terpaksa menggunakan sim asal daripada negara anda dengan cas roaming yang mahal. Begitu juga sebaliknya jika anda membelinya di US, ianya tidak dapat digunakan di negara luar.
Perkara ini agak menyusahkan kerana kebiasaannya ‘region lock’ ini hanya terdapat pada model yang dijual oleh telko tempatan, bukannya versi unlocked yang dijual kepada umum.
[Via GigaOM]