MAKKAH - Selamat menyambut ulang tahun ke-50 Tabung Haji (TH), dan kepada semua petugasnya kerana hari ini ialah tarikh kelahiran TH, 50 tahun dahulu.
Ketika ia dilahirkan pada tahun 1963, TH hanya mempunyai 13 petugas dan 1,280 pendeposit dengan simpanan sebanyak RM46,600 sahaja.
Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Anis Zuhani Ahmad berkata daripada sebuah organisasi yang kecil dan beribu pejabat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, kini, TH muncul sebagai sebuah pengurus dana Islam terbesar negara dengan jumlah melebihi RM41 bilion.
"Kini TH adalah sebuah organisasi yang berdaya saing melalui perkhidmatan inovatif dan skim simpanan yang menarik lebih daripada lapan juta pendeposit dan 119 cawangan, dengan lebih daripada 6,000 ‘touch-points' (pusat perhubungan) di seluruh negara dan mempunyai pejabat yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi," kata beliau.
Lebih bermakna lagi, sempena ulang tahun ke-50 tahun ini, pengurusan TH sedang sibuk menguruskan jemaah haji Malaysia di Makkah dan majlis bacaan doa selamat serta tahlil diadakan di Tanah Suci selain turut dianjurkan di tanah air.
Menyingkap sejarah penubuhannya, TH dilahirkan dengan nama Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji pada November tahun 1962, dan beroperasi pada 30 September 1963.
Perbadanan ini wujud hasil penerimaan kertas kerja Prof Di Raja Ungku Aziz bertajuk 'Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji' pada tahun 1959.
Pada tahun 1969, perbadanan itu dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang, dan lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau ringkasnya Tabung Haji, yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga
Urusan dan Tabung Haji 1969.
"TH diwujudkan sebagai satu kaedah simpanan bagi umat Islam menyimpan secara sedikit demi sedikit dan memastikan sumber yang digunakan untuk menunaikan ibadah haji adalah halal.
"Pada ketika itu masyarakat Islam menjual tanah dan binatang ternakan sebagai antara sebab utama untuk memastikan sumber kewangan adalah halal dan bebas daripada riba. Ini kerana pada masa itu tiada sistem kewangan Islam," kata Anis Zuhani.
TH ketika itu membawa jemaah haji Malaysia menunaikan Rukun Islam kelima dengan dua kapal laut sehingga tahun 1976 dan kapal terakhir ialah Anshun and Angkin yang berlabuh di Pulau Pinang dan Port Klang.
Bekas Duta Malaysia di Arab Saudi Datuk Syed Omar Al Saggaf ketika ditemui berkata pengurusan haji ketika tahun 1960-an adalah sesuatu yang sukar kerana ia dikendalikan menerusi sistem sheikh haji.
"Banyak suami isteri dan kaum keluarga terpisah apabila mendarat di Tanah Suci kerana direbut oleh sheikh-sheikh haji dan mereka terpaksa membayar wang ganti rugi jika mahukan keluarga masing-masing untuk tinggal serumah.
"Jemaah haji dahulu tidak menikmati kemudahan seperti sekarang dan mereka hanya tinggal dalam rumah-rumah batu dan tanah di kawasan bukit di sekeliling kawasan Masjidil Haram," kata beliau.
Kini, sistem sheikh haji ditukar kepada sistem muassasah, menjadikan pengurusan haji lebih sistematik dan jemaah haji tinggal di hotel-hotel dan maktab TH di Madinah dan Makkah.
Mulai tahun 1977, jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci dengan penerbangan dan kini penerbangan yang membawa puluhan ribu jemaah mendarat di dua buah lapangan terbang di Arab Saudi iaitu di Jeddah dan Madinah.
Anis Zuhani berkata menyedari pentingnya untuk memberi kebajikan kepada pendeposit TH termasuk subsidi kos membawa jemaah haji, pengurusan TH menceburi pelbagai bidang ekonomi dan pelaburan yang patuh syariah seperti hartanah, perladangan, pembangunan dan pembinaan.
"TH menceburi sistem kewangan Islam, perkhidmatan hospitaliti dan pelancongan, makanan dan katering, teknologi maklumat dan komunikasi serta minyak dan gas yang memberikan pulangan kompetitif dan berterusan," katanya.
TH menerokai pasaran hartanah dan memiliki 11 aset hartanah di Malaysia dan luar negara melalui pajakan jangka panjang hotel-hotel penginapan di Makkah dan Madinah serta yang terkini pemilikan dua bangunan pejabat iaitu di Queen Street Place dan Buckingham Palace Road, London di United Kingdom.
"Bertepatan dengan konsep Islam sebagai Addin, TH menetapkan matlamat memberi perkhidmatan yang baik dan sempurna kepada jemaah haji Malaysia dalam urusan menunaikan fardu haji dan memberi keuntungan yang maksimum kepada pendeposit atas wang simpanan mereka," kata beliau.
Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa TH bukan sahaja menguruskan jemaah haji ke Tanah Suci, malah ia juga berfungsi sebagai suatu badan alternatif kepada umat Islam Malaysia untuk menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut lunas-lunas Islam. - Bernama