Telefon pintar daripada Fujitsu boleh dikatakan tidak dipasarkan di Malaysia, dan lebih memfokuskan kepada pasaran Jepun. Terkini, hari ini mereka hadir dengan peranti baru dinamakan sebagai Fujitsu Arrows A 301F yang menyertakan beberapa perkara menarik melaluinya.
Dari segi spesifikasi, peranti berasaskan sistem operasi Android ini membawakan skrin bersaiz 5-inci dengan paparan HD penuh, cip pemprosesan empat-teras Snapdragon 800, dan kamera 13-megapixel pada bahagian belakang.
Jadi, apa yang menarik mengenai telefon pintar ini? Menurut Fujitsu, telefon pintar ini dikatakan membawakan masa bertahan bateri sehingga 3 hari lamanya, dan pada masa yang sama, membolehkan pengguna mengecas semula peranti berkenaan hanya dalam masa sepuluh minit.
Bagaimanakah perkara tersebut dijayakan masih tidak diketahui sepenuhnya. Namun, dengan masalah masa bertahan bateri yang amat singkat pada kebanyakkan telefon pintar hari ini, semestinya peranti ini akan menarik perhatian ramai.
Selain daripada itu, peranti ini juga dilihat menyertakan sokongan pengimbas cap jari yang terletak pada bahagian bawah kamera belakang. Fungsi penuh pengimbas cap jari ini tidak diketahui buat masa ini.
Telefon pintar ini bakal dipasarkan di Jepun pada bulan Disember ini.
SUMBER RUJUKAN: PHONEARENA